Friday, March 12, 2010

Penulisan Ilmiah Kumpulan 6

PERANAN KOMUNITI DALAM MEMUPUK KESEDARAN TERHADAP
KANAK-KANAK BERKEPERLUAN KHAS

Pendahuluan

Tidak semua kanak-kanak dapat menerima dan menguasai pembelajaran seperti yang diharap dan dirancangkan. Terdapat beberapa golongan kanak-kanak yang tidak bernasib baik sehingga menghalang proses-proses pembelajaran berlaku dengan baik dan cemerlang. Antara golongan itu adalah kanak-kanak bermasalah pembelajaran. Secara sedar ataupun tidak, pelbagai pihak telah memainkan peranan masing-masing atas kesedaran untuk tidak meminggirkan kanak-kanak berkeperluan khas. Jika dilihat dari mata kasar pihak-pihak yang paling dekat dengan murid tersebut adalah guru dan ibu bapa. Disamping itu pihak-pihak lain juga turut memainkan peranan agar kanak-kanak berkeperluan khas ini boleh memajukan diri seiring dengan individu yang lain

Peranan guru

Guru di kelas biasa turut memainkan peranan penting dengan membantu mengenal pasti murid dengan masalah pembelajaran agar mereka tidak terus ketinggalan. Dr. Aminah Bee (2000), menggariskan peranan pihak sekolah/guru dari segi mengenal pasti murid iaitu :
• Guru kelas biasa perlu peka apabila kanak-kanak kurang memberi tumpuan/perhatian ataupun kuran cekap dalam pelajaran.
• Guru kelas biasa perlu sedar terdapat di kalangan kanak-kanak normal yang mempunyai masalah pembelajaran dan jangan meletakkan label ‘malas’ ataupun ‘bodoh’ kepada murid.
• Guru kelas biasa perlu merujuk kes yang disyaki kepada guru yang mempunyai latihan dalam pendidikan khas (jika ada) kerana guru ini dapat mengenal pasti secara kasar masalah yang dihadapi murid.
• Kanak-kanak yang baru memulakan persekolahan di tahun satu perlu disaring bagi mengenal pasti masalah pembelajaran spesifik.
• Merujuk kanak-kanak kepada pasukan kesihatan sekolah ataupun klinik kesihatan yang berdekatan bagi pemeriksaan lebih terperinci.

Walau dalam situasi bagaimana sekalipun, murid dengan keperluan khas perlu dilihat dan dilayan seperti murid normal yang lain. Corak perkembangan murid tipikal dan strategi pengajaran bagi murid murid berasaskan pengetahuan perkembangan boleh diaplikasikan terhadap murid dengan keperluan khas. Guru perlu mendapatkan semua sumber maklumat yang boleh diperoleh, termasuk ibu bapa, doktor, perpustakaan dan persatuan bagi membantu murid berkenaan.
Rancangan sekolah selalunya dibuat berdasarkan kepada murid yang sederhana dan cerdik. Kanak-kanak yang bermasalah pembelajaran seolah-olah dipaksa menghadapi kegagalan serta kekecewaan dan akan berdepan dengan kesukaran. Dalam situasi sekolah seperti ini, kanak-kanak ini merasakan dia akan gagal dalam hidup, cita-citanya tidak diendahkan, terbantut atau dimusnahkan. Dia juga mungkin percaya jika diarah supaya percaya dia tidak akan Berjaya. Bagi membantu seseorang itu belajar, seorang guru perlu tahu muridnya sendiri, sifatnya, keperluannya serta latar belakangnya. Guru perlu mempertimbangkan bagaimana membantu muridnya menangani situasi yang dihadapinya, merangsangnya supaya terus belajar, mempermudahkan proses pembelajarannya dan menyediakan persekitaran yang membolehkan kanak-kanak ini mengamalkan apa yang dipelajarinya.

Ada antara kanak-kanak ini boleh berjaya di sekolah dan dalam hidup jika minat mereka dirangsang dan mereka diberikan peluang. Mereka boleh dipimpin supaya menguasai banyak perkara abstrak yang mudah. Perbendaharaan kata yang mudah harus digunakan, bahan bacaan mesti ditulis berkaitan kepentingan hidup, serta pengajaran am dan kadar pembelajaran mestilah dilambatkan. Dengan itu barulah mereka boleh menerima faedah yang banyak dan menjadi murid yang berjaya. Sebahagian daripada kegagalan mereka yang bermasalah pembelajaran dikaitkan dengan segolongan pendidik tidak bewibawa yang menempatkan kanak-kanak ini ke dalam situasi dimana mereka tidak boleh berjaya dan kemudiannya tidak membuat sesuatu bagi menolong penyesuaian mereka.

Kefahaman mengenai kanak-kanak adalah asas kepada sebarang pertolongan atau bimbingan yang mungkin diberikan kepada mereka. Anak-kanak ini sedang maju ke hadapan dan perlu mempunyai jalan yang disediakan untuknya. Dia mesti dapat memahami nilainya dan mengenal pasti rintangan-rintangan serta potensinya. Justeru, kanak-kanak ini perlu dibimbing menuju ke sesuatu matlamat yang ingin dicapainya. Proses pembelajaran adalah satu aktiviti yang kompleks kerana banyak perkara berlaku serentak pada masa yang sama. Sewaktu sesuatu sesi pengajaran dan pembelajaran dikendalikan, terlalu banyak perkara yang perlu diberi perhatian oleh kanak-kanak ini bagi memastikan mereka menguasai apa yang diajar oleh guru. Proses ini tidak dapat dilakukan secara maksimum oleh sisiem neurologi seperti yang diharapkan. Walau bagaimanapun, pembelajaran boleh dimudahkan dengan wujudnya keadaan seperti berikut:
• Terdapat objektif yang jelas dan berpotensi di capai.
• Murid mempunyai motivasi untuk belajar.
• Murid disediakan dengan tugasan pembelajaran yang sesuai dan memberikan mereka peluang mengamalkan tingkah laku yang diperlukan.
• Apabila pembelajaran berlaku, murid mendapat peluang mengamalkan tugas yang lebih sukar yang mendorongnya supaya belajar lebih lanjut.
• Murid diberitahu mengenai kemajuannya dan dibantu supaya mencapai objektif yang dimahukan.

Kebanyakan kanak-kanak bermasalah pembelajaran tidak dapat berkomunikasi dengan baik di dalam kelas. Murid memerlukan bentuk komunikasi yang baik dan jelas bagi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran. Guru perlu mengambil kira dalam komunikasi, setiap mesej yang hendak disampaikan memerlukan tidakan yang sesuai dengan kehendak murid. Sehubungan ini, komunikasi corak berikut dapat diwujudkan di dalam kelas:
• Komunikasi antara perseorangan – melibatkan dua orang yang berinteraksi secara bersemuka.
• Komunikasi kumpulan kecil – himpunan individu yang berinteraksi antara satu sama lain secara langsung atau tidak. Ini adalah proses di mana sesuatu kumpulan bertukar-tukar pendapat.
• Komunikasi umum – melibatkan kumpulan yang lebih besar. Guru perlu berkemampuan menarik perhatian murid dengan nada suara yang menarik, bijak menyusun kata, tegas dan mempengaruhi.
• Komunikasi massa – melibatkan penggunaan alat-alat komunikasi seperti televisyen, radio, internet, akhbar dan majalah.
• Komunikasi bercirikan kekeluargaan – murid digalakkan beralah, menahan rasa marah bagi mewujudkan hubungan yang harmoni.

Guru juga perlu memikirkan cara komunikasi seperti yang berikut supaya komunikasi antara guru dan murid lebih berkesan:
1. Gunakan teknik komunikasi yang jelas.
• Penyampaian secara khusus
• Nyatakan serta merta sesuatu perkara atau teguran
• Jangan buat penilaian terlalu awal sebelum mendengar dan meneliti
• Selaraskan maklumat dengan cara berkomunikasi: apa yang disampaikan mestilah konsisten dan tidak berubah-ubah bagi mengelakkan kekeliruan
2. Tunjukkan penghormatan dan kasih sayang
• Cakap dengan lemah lembut
• Jawab apabila ditanya
• Penuhi permintaan yang munasabah
• Minta bantuan pelajar dengan cara yang sopan
• Sedar kasih sayang lebih berkesan daripada cara yang keras
3. Elakkan menyebut perkataan-perkataan yang negatif. Padamkan rekod negatif dalam minda murid.
4. Kembangkan potensi dan kebolehan murid. Jangan perkecilkan kebolehan murid.
5. Dengar dengan aktif serta berikan perhatian kepada apa yang dituturkan, isi perkataan dan selami serta fahami perasaannya.
6. Nyatakan mesej tidak boleh, secara berhemah dengan cara:
• Beri alternatif
• Beri penjelasan kenapa tidak boleh
• Fahami dan hormati perasaan murid dan tunjukkan perasaan simpati dan empati, terangkan masalah ataupun risiko berkaitan dengan perkara yang ditegah
7. Nasihat

Ketidaktentuan sewaktu berkomunikasi sekaligus mewujudkan ketidakberkesanan dalam hubungan sosial murid. Di sekolah murid dapat memperkembangkan kemahiran sosial bersama rakan-rakan. Tetapi di kalangan murid bermasalah pembelajaran mereka mempunyai masalah bersosial dengan rakan-rakan. Seorang guru mempunyai peranan yang sangat penting dalam membantu mereka meningkatkan kemahiran bersosial dikalangan rakan-rakan. Seorang guru boleh:
• Guru boleh melantiknya sebagai ketua kebersihan atau apa saja jawatan yang penting supaya kanak-kanak ini sedar bahawa mereka sentiasa dihargai guru dan rakan-rakan dan menerima mereka sebagai sebahagian daripada ahli kelas. Ini mendorong mereka supaya lebih berani untuk bersuara.
• Sentiasa menghampiri dan memberikannya senyuman setiap masa. Ini mendorongnya rasa seronok untuk datang ke sekolah.
• Sentiasa menegurnya. Walaupun dia sering mengelakkan diri, tegurlah dia supaya dia tahu ada yang sudi bercakap dengannya.
• Galakkan murid-murid lain supaya sentiasa menghampirinya terutama semasa rehat dan di dalam kelas. Ini penting supaya dia sedar, dia tidak bersendirian dan ramai rakan-rakan di sekelilingnya.
• Libatkan kanak-kanak tersebut dalam perbualan seharian seperti bertanyakan aktivitinya pada hujung minggu, bertanyakan makanan kegemarannya atau hobi di masa lapangnya.
• Sentiasa memberikan pujian kepadanya. Kanak-kanak akan merasa bangga apabila dipuji walaupun perkara itu kecil dan menyedarkan dirinya dihargai.

Disamping perkara-perkara di atas, elemen-elemen diri guru juga dapat membantu menyampaikan mesej kepada murid dengan lebih berkesan. Antara elemen yang penting adalah:
• Penampilan diri
Ini merangkumi kedudukan kepala, posisi tubuh serta cara berpakaian. Penampilan luar menciptakan kesan murid kepada diri mereka. Pelanggan tertarik membeli barang-barang yang bungkusannya kelihatan menarik. Begitu juga dengan guru, dinilai oleh penampilan peribadinya.

• Muka
Ia merangkumi kelembutan wajah serta mata iaitu lirikan renungan dan sebagainya, mulut sama ada tersenyum atau tidak. Guru yang digerakkan oleh semangat kelembutan dapat mengarahkan segala tenaganya kepada tindakan dan seterusnya keberkesanan pengajarannya.

• Suara
Gaya bercakap terletak kepada suara. Suara mestilah jelas dan lantang. Ada guru yang terlampau cepat bercakap ataupun suaranya tidak kedengaran. Amat penting bagi guru meminta kerjasama murid-muridnya dengan memberitahu kalau-kalau suaranya tidak kedengaran atau percakapannya terlalu cepat. Suara yang jelas dapat menutup jurang komunikasi antara guru dan murid.

• Sentuhan
Memegang tangan dan beberapa sentuhan lain antara guru dan murid sangat penting. Sentuhan yang sihat dapat meyakinkan murid kemesraan sudah wujud. Mereka merasa diri mereka disayangi, dihargai dan sebagainya.

Interaksi yang berkesan adalah interaksi yang merapatkan hubungan antara ibu bapa dan guru sama ada bersifat verbal atau tidak. Walaubagaimanapun, interaksi yang berkesan ini kurang dipraktikkan oleh guru dan ibu bapa kerana sibuk dengan tugasan harian. Guru berperanan untuk menarik perhatian ibu bapa supaya dapat berinteraksi dengan lebih kerap agar segala permasalahan anak dapat dibincangkan. Ibu bapa mestilah dianggap sebagai rakan kongsi yang penting. Guru berperanan supaya penglibatan ibu bapa ini lebih berkesan lagi. Guru haruslah juga melatih diri menjadi pendengar yang baik, belajar mengenal pasti tanda-tanda sedih, marah dan kekecewaan serta bertindak dengan sepatutnya.

Peranan ibu bapa

Menurut Coots (1998), penglibatan ibu bapa dalam persekolahan kanak-kanak bermasalah pembelajaran adalah perlu kerana golongan ibu bapa adalah golongan yang memiliki banyak kelebihan berbanding guru khas dalam menjalankan fungsi ataupun tanggungjawab pada persekolahan. Guru khas bertugas secara formal dan dibatasi oleh faktor-faktor seperti masa, tempat dan peraturan. Manakala ibu bapa berhubung secara tidak formal dan mempunyai peluang lebih luas melibatkan diri dalam persekolahan.

Penglibatan ibu bapa dapat dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu penglibatan di rumah, penglibatan di sekolah dan kedua-duanya.
i. sebagai pemerhati sejak kecil yang menjadi maklumat penting untuk para profesional.
ii. mengambil peranan yang aktif dalam proses pendidikan terutamanya semasa peringkat prasekolah dimana ibu bapa boleh mendapatkan maklumat mengenai kemahiran pengurusan diri, pra-akademik, mobiliti dan komunikasi. Ibu bapa juga membuat temu janji dengan guru khas bagi membincangkan pelajaran si anak, menghadiri mesyuarat, membuat keputusan, meneliti rancangan dan memeriksa rekod anaknya yang disimpan di sekolah.
iii. dengan latihan, ibu bapa dapat mengukuhkan pembelajaran yang pernah dipelajari oleh anak supaya diaplikasi di rumah

Ibu bapa mempunyai peranan tersendiri dalam memenuhi kehendak kanak-kanak bermasalah pembelajaran. Antara peranan jelas yang dapat dimainkan oleh mereka adalah seperti berikut:
i. Ibu bapa sebagai penyelaras kehendak.
- Seligman dan Darling (1989) mencatatkan keluarga kepada kanak-kanak bermasalah pembelajaran mempunyai cabaran dan beban yang tidak diketahui oleh orang lain dalam memenuhi kehendak mereka. Hal-hal berkaitan dengan kewangan yang serius adalah perkara biasa apabila anak itu perlu perlu mendapatkan rawatan, keperluan perubatan, terapi, alatan khusus, pengubahsuaian persekitaran dan pengangkutan khas. Keperluan-keperluan begini jarang sekali ditanggung oleh pihak insurans ataupun disediakan oleh program perkhidmatan sosial.
Pada masa yang sama, ibu bapa yang mempunyai anak bermasalah pembelajaran mudah tersinggung (Murphy, 1982). Menyorot pada kajian yang menggunakan kumpulan pasangan ibu bapa anak istimewa, McGillycuddy-DeLisi (1992) mendapati ibu bapa kepada kanak-kanak bermasalah pembelajaran mempunyai konsep kendiri yang rendah dan bersedih kerana membesarkan anak yang kurang upaya. Daripada awal lagi sejak mengesyaki anak mereka bakal menghadapi masalah, ibu bapa mengalami rasa ketidakpastian. Mereka terpaksa memikirkan keperluan perubatan, tahap kemampuan serta kemampuan penyesuaian psikologi dan sosial. Ibu bapa tidak pasti bagaimana menghilangkan keadaan ini. Biasanya perasaan ini tidak hilang walau lima ataupun sepuluh tahun akan datang.

ii. Ibu bapa sebagai pendorong.
- Ada kanak-kanak istimewa mempunyai minat yang tertentu. Minat inilah yang perlu didorong oleh ibu bapa ke peringkat yang termampu oleh kanak-kanak itu. Kalau seorang kanak-kanak menunjukkan bukti mempunyai darjah minat yang tinggi iaitu bakat dalam sesuatu bidang tertentu, maka sesuai kalau dianggap latihan yang bertujuan khas bagi perkembangan bakat itu menghasilkan pencapaian yang tinggi dan kejayaan berikutan dengannya, tanpa sebarang halangan.

iii. Ibu bapa sebagai pemberi maklumat.
- Antara strategi yang sepatutnya diberikan kepada kanak-kanak ini adalah
memberi mereka maklumat yang cukup mengenai orang lain supaya ditiru. Kajian Bandura (1971) merumuskan hanya dengan melihat orang lain terutama yang lebih tua ianya dapat mempengaruhi tingkah laku seseorang. Ibu bapa memang dapat dijadikan sebagai model utama dalam pemupukan minat dan pencapaian kanak-kanak istimewa. Ini memang salah satu fungsi ibu bapa di rumah. Ibu bapa mungkin menjadi model tingkah laku kepada anak-anaknya dan dengan itu menyediakan mereka dengan petunjuk yang konkrit berkenaan apa yang patut mereka buat dan apakah peribadi yang patut ditonjolkan.

. Ibubapa perlu menjalankan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin. Antara tindakan di rumah yang perlu diambil oleh ibu bapa yang mempunyai anak bermasalah pembelajaran adalah mempunyai hubungan yang baik dengan ahli keluarga. Keluarga yang bahagia adalah syurga bagi anak-anak. Oleh itu, sebaik-baiknya kita mencipta kebahagiaan dan keharmonian dalam rumah tangga bagi mewujudkan situasi yang sihat pada diri anak kita. Ibu bapa yang penyayang mewujudkan suasana yang mesra dan penuh kasih sayang. Namun, sikap mesra itu perlu ada hadnya. Bataskan garis-garis tertentu supaya dia dapat dikawal dan tidak melampaui batas. Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Memberi didikan agama sebaik-baiknya bermula sejak kecil lagi. Agama dapat membantu anak anda melakukan perkara yang baik dan mengelakkan perkara yang tidak baik. Konsep ini perlu diterangkan pada anak anda sejak kecil supaya dia mengerti dalam kehidupan ini, ada panduan dan undang-undang yang perlu diikuti oleh setiap manusia. Ibu bapa memainkan peranan penting mambantu anak menyesuaikan diri dengan masalah yang mereka hadapi. Anak-nak istimewa ini memerlukan empati, sokongan dan galakan dalam menangani penyesuaian sosial dan emosi. Ibu bapa tidak perlu mengawal anak dengan berlebih-lebihan dan memandang rendah kebolehannya

Antara peranan ibu bapa di sekolah adalah menjalinkan:
i. Hubungan baik dengan guru.
- Ibu bapa hendaklah mewujudkan hubungan baik dengan guru kerana dia adalah orang kedua yang akan membantu anak anda selain daripada keluarga kita sendiri. Usah sekali-kali malu menceritakan pada guru mengenai anak kita walaupun perkara yang sulit. Guru perlu dimaklumkan mengenai tingkah laku anak kita supaya dapat membantu mengawasinya. Kebanyakkan komunikasi antara kita dan guru sering berlaku secara individu dan interaksi harian yang memfokuskan pada perkembangan jangka panjnag. Kita perlu :
i. Bertanyakan mengenai kualiti positif anak kita dan bagaimana dia menyesuaikan diri dan perkembangan yang dilalui.
ii. Nyatakan tentang kebimbangan kita mengenai anak kita sekiranya ada dan berikan beberapa contoh konkrit.
iii. Sematkan harapan yang positif dalam diri kita.

Komunikasi dengan guru adalah kunci kejayaan dalam usaha kolaborasi ini. Guru mempunyai perspektif dan idea bagi membantu anak kita dalam aspek yang berbeza. Kemahiran berkomunikasi dengan guru mewujudkan hubungan rapat dan ini boleh membantu anak kita. Komunikasi ini termasuk bertutur, mendengar, melahirkan perasaan dan interpretasi makna sesuatu mesej.

Adalah lebih baik sekiranya kita berkongsi segala maklumat mengenai anak kita dengan guru di sekolahnya. Perkara ini sangat penting kerana anak anda berada di bawah jagaan guru semasa waktu persekolahan. Sekiranya berlaku sebarang kecemasan, guru sudah maklum apa yang perlu dilakukan. Usah wujudkan jarak pemisah dengan guru. Hubungan baik adalah penting demi untuk kebaikan diri anak anda. Anda hendaklah sering menghargai guru kerana tugasnya yang rela melayan anak kita adalah suatu rahmat. Tidak ramai yang sanggup terlibat dalam bidang pendidikan ini. Hanya guru yang istimewa sanggup memilih karier untuk berdamping dengan anak istimewa yang pelbagai kerenah.




ii. Hubungan dengan Persatuan Ibu bapa.
- Ibu bapa perlu memainkan peranan yang aktif dalam persatuan Ibu Bapa dan Guru atau PIBG kerana tidak ada sesiapa yang mahu membela nasib anak kita melainkan diri kita sendiri. Kita boleh mencadangkan supaya pihak PIBG menyediakan pusat sumber khas dengan menyediakan buku bacaan bergambar, kad dan alat permainan serta memberi pelbagai kemudahan kepada kanak-kanak istimewa bagi menambah minat mereka datang ke sekolah. Taman permainan boleh juga diwujudkan bagi memberi peluang kepada mereka melatih kemahiran motor dan bersosialisasi. Kita boleh bergabung dengan ibu bapa lain untuk membawa sesuatu yang baru bagi kebaikan anak-anak kita. Seminar dan kursus boleh juga dianjurkan bagi meningkatkan ilmu dalam pendidikan untuk anak-anak istimewa.

Selain daripada itu, terdapat juga tindakan lain yang menunjukkan betapa pentingnya
peranan ibu bapa dalam menangani kanak-kanak yang bermasalah pembelajaran
ini. Antaranya menjalinkan:

i. Hubungan rapat dengan ibu bapa kanak-kanak bermasalah pembelajaran yang lain.
- Perhubungan rapat dengan ibu bapa yang juga mempunyai anak bermasalah pembelajaran adalah digalakkan. Mereka lebih memahami diri anda . Ibu bapa boleh bertukar fikiran dan berkongsi pengalaman yang mungkin membantu anak mereka. Bebanan ibu bapa juga menjadi lebih ringan sekiranya mereka dapat meluahkan segala yang gusar di hati mereka. Bergaul rapat dengan keluarga lain yang mempunyai anak yang bermasalah membolehkan kita bertukar pendapat dan perspektif serta berkongsi pengalaman. Adakalanya pengalaman orang lain dapat membantu kita mengatasi masalah yang dihadapi. Sebagai ibu bapa, boleh juga menganjurkan perkelahan dengan ibu bapa yang memiliki anak sedemikian supaya hubungan silaturrahim antara kita dan keluarga itu wujud dengan lebih erat. Hubungan ini penting kerana sekurang-kurangnya kita mempunyai tempat mengadu. Mereka lebih memahami diri daripada ibu bapa lain yang tidak mempunyai anak istimewa.

ii. Hubungan yang baik dengan masyarakat sekeliling.
- Pada hari ini, masyarakat lebih prihatin dan bertimbangrasa sekiranya dibandingkan dengan dahulu. Mereka lebih sedar tentang peranan yang boleh dimainkan untuk memberi sokongan dan bantuan pada kanak-kanak bermasalah pembelajaran. Masyarakat hari ini lebih penyayang dan mempunyai nilai yang tinggi sehingga rela bertungkus lumus memungut derma semata-mata untuk disumbangkan pada kanak-kanak ini. Terdapat juga pertubuhan NGO yang sering melibatkan diri dalam aktiviti yang melibatkan anak-anak istimewa. Kita perlu memberi sokongan kepada badan ini kerana mereka menyediakan pelbagai aktviti untuk memberi peluang pada anak kita bergaul dengan masyarakat. Kita boleh daftarkan anak kita dengan badan NGO sebagai ahli mereka. Sebagai ibu bapa kita boleh memainkan peranan aktif dalam membantu NGO menguruskan aktiviti mereka. Kita juga berpeluang mewujudkan silaturrahim dengan ahli jawatankuasa badan itu. Kita perlu buktikan kepada masyarakat, mempunyai anak yang istimewa bukanlah satu kelemahan tetapi sesuatu kekuatan yang boleh membina keyakinan dalam diri kita.

iii. Hubungan rapat dengan rakan sebaya.
- Anak kita mungkin sukar untuk belajar dengan bimbingan guru ataupun daripada kita. Mungkin mereka lebih mudah memahami dan dapat mengikut pelajaran sekiranya rakan sebaya membantunya. Ramai kanak-kanak mudah faham dan seronok apabila rakan sebaya membantu mereka dan mereka pasti lebih bermotivasi dan menunjukkan minat. Mungkin mereka tidak ada sifat malu, takut ataupun khuatir sekiranya mereka bersama rakan sebaya . Tunjuk ajar rakan sebaya adalah satu usaha yang dapat membina keyakinan dalam diri anak-anak. Adalah baik sekiranya anak kita mempunyai sahabat yang aktif supaya mereka boleh bersosial dengan mudah. Namun begitu, tingkah laku mereka perlu diperhatikan supaya tidak terpesong. Ada kalanya rakan sebaya boleh membawa anak ke jalan yang salah. Lebih-lebih lagi sekiranya anak anda tidak terlalu cergas. Dia lebih mudah terpengaruh dan mengikut sahaja tingkah laku rakan sebayanya tanpa dapat membezakan antara baik dan buruk. Mereka memerlukan sokongan bagi membentuk identiti diri mereka. Anda perlu memainkan peranan dalam hal ini.

Peranan dari kerajaan dan pihak-pihak lain.

Selain daripada kesedaran di pihak guru dan ibu bapa komuniti sekeliling juga bertindak dalam membantu pelajar bermasalah pembelajaran. Mereka tidak dipinggirkan sewenang-wenangnya. Dari pandangan global, pihak kerajaan menjadi tunjang masyarakat dalam menghapuskan jurang perbezaan diantara pelajar dalam aliran perdana dan pelajar berkeperluan khas, khususnya pelajar bermasalah pembelajaran. Kerajaan telah menggerakkan Kementerian Pelajaran untuk mewujudkan dan mengimplementasikan pelbagai program-program bagi membantu pelajar –pelajar yang bermasalah bermula dari peringkat pra sekolah sehingga ke peringkat menengah atas. Sebagai contoh kerajaan telah memperuntukkan sebahagian belanjawan bagi mewujudkan beberapa buah PUSAT SEHENTI yang asalnya adalah Pusat Perkhidmatan Pendidikan Khas.

Setakat ini terdapat sebanyak 14 buah Pusat Sehenti dibuka di serata negeri. Contohnya di Putrajaya, Kota Bharu, Alor setar dan Shah Alam. Pusat ini di buka bertujuan untuk membantu pembelajaran anak-anak Orang Asli. Program ini dinamakan ‘Program Out-Reach’. Program ini di wujudkan apabila bertitik tolaknya fenomena keciciran pembelajaran anak-anak Orang asli akibat faktor pengangkutan dan kesedaran di kalangan mereka. Program ini juga di sertai oleh Badan-badan Kerajaan dan Bukan Kerajaan seperti Bank Simpanan Nasional (BSN), Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Institut Integriti Malaysia yang sedar bahawa pelajar sebegini patut di bela.

Di bawan naungan Duli Yang Maha Mulia pada tahun 1964, Unit Pendidikan Khas telah di tubuhkan. Ianya telah di tukar menjadi sebuah jabatan pada tahun 1995 an di gerakkan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia. Unit ini berperanan bagi menyediakan program dan latihan dalam pendidikan khas untuk guru-guru sekolah rendah dan sekolah menengah. Ia juga berfungsi untuk meningkatkan pengetahuan guru-guru dan para kakitangan mengenai kanak-kanak berkeperluan khas di samping menyedikan khidmat-khidmat pendidikan bagi pelajar berkeperluan khas dalam sistem pembelajaran inklusif. Seiring dengan keperluan semasa Kementerian Pelajaran telah mewujudkan posisi guru (LAT) iaitu Guru Pembantu Pelajaran. Mereka adalah guru-guru terlatih yang mempunyai Sijil Pendidikan Khas dari (UBD dan Kementerian Pelajaran).

Atas misi menghapuskan jurang di antara pelajar-pelajar bermasalah pembelajaran dengan pelajar-pelajar berarus perdana, Kementerian Pelajaran telah menjalankan satu projek yang di namakan ‘Projek Rintis ISD’ (Instrumen Senarai Semak Disleksia). Jabatan Pendidikan Khas menjalankan projek ini. Senario projek ini adalah untuk mengenalpasti murid yang tercicir kemahiran 3M (Mengeja, Membaca, Menulis). Dalam projek ini langkah pertama adalah murid ini di beri ujian saringan yang di pecahkan kepada dua bahagian. Bahagian A mengandungi data asas murid seperti jantina, keturunan, pencapaian akademik dan ciri-ciri lain. Manakala bahagian B menguji kebolehan mengeja, membaca dan menulis. Antara elemen-elemen yang di uji pula adalah elemen yang mengukur tahap penguasaan literasi murid, mengukur tahap keupayaan kognitif dan elemen yang di ambil kira, keseluruhan ciri spesifik disleksia. Penilaian di buat oleh guru Bahasa Malaysia yang sekurang-kurangnya 6 bulan mengajar tahun 1 sebelum ujian ISD. Langkah selepas penilaian murid adalah mengesan murid yang mengalami masalah literasi di sebabkan oleh masalah pengajaran dan pembelajaran dan bukan dari masalah sosial. Dalam projek rintis ini juga kelas untuk murid yang bermasalah pembelajaran di cadang kan kepada 2 iaitu sekolah inklusif ataupun interuensi khas disleksia. Kelas inklusif murid bermasalah pembelajaran akan dicampur bersama-sama pelajar normal tetapi akan di keluarkan daripada kelas mengikut untuk di beri intervensi khas.

Selain itu ia tidak hanya berperanan untuk menyedarkan kepentingan hak pelajar –pelajar bermasalah pembelajaran, unit ini juga berfungsi untuk meningkatkan pengetahuan ibu bapa dan masyarakat tentang kanak-kanak berkeperluan khas. Sebarang program yang di jalankan untuk pelajar berkeperluan khas ini akan di pantau dari semasa ke semasa. Melalui agensi-agensi dari dalam dan luar negara unit ini berkerjasama bagi memberi bantuan yang lebih efektif untuk pelajar –pelajar berkeperluan khas ini. Bagi berlaku adil kepada pelajar-pelajar bermasalah pembelajaran unit ini menyediakan garis-garis panduan.

Kesedaran terhadap pelajar-pelajar bermasalah pembelajaran telah lama timbul disamping akta-akta yang di wujudkan demi menjaga kesejahteraan pelajar kumpulan berkeperluan khas ini seperti Akta Pendidikan 1961. Di samping itu, melalui media massa, media elektronik dan media cetak isu kanak-kanak berkeperluan khas ini telah giat di utarakan. Melalui pelbagai pertubuhan laman-laman web dan buku-buku kita boleh memperolehi maklumat yang pelbagai tentang kanak-kanak yang menghadapi simpton-simpton tersebut. Ini juga merupakan salah satu hasil tindakan untuk kesedaran dan kebertanggungjawabkan umumnya untuk golongan pelajar berkeperluan khas dan khususnya secara tidak langsung untuk pelajar bermasalah pembelajaran.

Beberapa pertubuhan dan persatuan masyarakat telah ditubuhkan dalam menyokong dan memberi bantuan kepada pelajar-pelajar bermasalah pembelajaran ini. Contohnya di New York sebuah pertubuhan yang di namakan ‘Resources For Children With Special Needs’ atau dengan nama singkatan RCSN telah di tubuhkan. Ia bertanggungjawab menawarkan perkhidmatan dari segi sosial, kognitif dan fizikal kepada kanak-kanak berkeperluan khas. Badan pertubuhan ini memainkan peranan penting untuk menolong mana-mana kanak-kanak berkeperluan khas untuk mengenalpasti dan menguasai potensi mereka. Ibu bapa yang mempunyai anak yang berkeperluan khas juga di beri bantuan dalam membina pengetahuan, kemahiran dan keyakinan untuk menguruskan anak-anak yang berkeperluan khas. Ibu bapa di bimbing untuk mendapatkan pendidikan yang sesuai untuk anak-anak mereka. Pertubuhan ini juga menawarkan aktiviti rekreasi selepas sekolah untuk kanak-kanak berkeperluan khas ini. Aktiviti ini di jalankan dengan objektif untuk menanamkan semangat ini bersaing dengan kanak-kanak berkeperluan khas yang lain.

Dalam menunaikan rasa bertanggungjawab terhadap kanak-kanak berkeperluan khas ini di Malaysia satu kempen yang di namakan ‘Kempen Pelan Pembangunan Pendidikan Khas Open Minds telah dilancarkan oleh Procter & Gamble 1999. Ianya bagi membantu lebih kurang 314,000 orang pelajar sekolah rendah yang mengalami ‘disleksia’.

Di peringkat dunia, Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah mengisytiharkan 2 April pada setiap tahun sebagai ‘Hari Autisme’ sedunia bermula pada tahun 2008. Jika di lihat di negara Brunei, pihak kerajaannya telah mewujudkan ‘Pusat Perkembangan Kanak-kanak (CDC) yang mana berfungsi untuk menguruskan kanak-kanak autisme. CPC menyediakan penyelidikan, penilaian dan penyelarasan rawatan. Pusat ini juga menawarkan perkhidmatan khidmat nasihat profesional untuk ibu bapa, guru-guru dengan kerjasama UPK dan Kementerian Pelajaran.

Program pendidikan inklusif merupakan ‘Program Percantuman’ atau ‘Integrated’yang di amalkan sejak tahun 1962 lagi. Matlamat utama pendidikan inklusif ini ialah untuk mengsealirankan pelajar-pelajar berkeperluan khas dengan pelajar-pelajar normal di sekolah biasa.

Prospek untuk melanjutkan pelajaran bagi murid-murid bermasalah pembelajaran yang berumur 14 tahun dan tamat di sekolah rendah Program Kanak-kanak Khas lebih luas kerana mereka boleh meneruskan pelajaran ke peringkat sekolah menengah dan matapelajaran pra vokasional dan dititik beratkan seperti yang di rujuk dalam surat KP (BS-PK) 8501/PPP-KBP/Jld.JLD.IV/(4) bertarikh 3 Disember 1991 kepada semua Pengarah Pendidikan Negeri.

Bagi memastikan murid-murid bermasalah pembelajaran seiring dengan murid normal Kementerian Pelajaran telah menubuhkan dan membuka sebilangan sekolah dengan program rintis disleksia. Sekolah-sekolah tersebut di buka setiap negeri seperti Sekolah Sultan Yusof Batu Gajah dan Sekolah Kepayang, Ipoh di Perak. Manakala Sekolah Fakeh Abd Samad di Kuantan, Pahang dan banyak lagi.

Kementerian juga membuka peluang kepada murid-murid yang di dalam kategori ini untuk menambah masa peperiksaan yang diduduki oleh mereka dari setengah jam hingga satu jam (bergantung kepada subjek). Untuk ini mereka boleh membuat permohonan dengan mengisi borang-borang BPKKK (Pindaan 2003-Borang Pendaftaran dan Cadangan Penempatan Kanak-kanak Keperluan Khas) berumur 0-18 tahun. Borang-borang ini boleh di peroleh daripada hospital kerajaan, unit pediatrik, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan cawangan Persatuan Disleksia.








Kesimpulan

Guru dan ibu bapa mestilah menjadi penganjur dan pelopor kepada kanak-kanak yang memerlukan pendidikan inklusif dengan lebih berkesan lagi. Walaubagaimanapun, segala usaha kearah ini tidak mungkin tercapai tanpa komitmen dari pihak-pihak lain. Kesedaran untuk mengambil tindakan seperti ini amatlah penting kerana ia akan memberi kesan dan implikasi yang berpanjangan ke atas perubahan sosial di masa hadapan. Ini kerana anak-anak istimewa hari ini adalah pemimpin masyarakat, guru, penulis, ahli politik, doktor dan sebagainya.



“Life is like a box of chocolate, you wouldn’t know what you might get, until you open and eat them.” – Forrest Gump

























Thursday, March 4, 2010

Learning Outcome 6

Jangan pinggirkan kanak-kanak disleksia - peranan ibu bapa dan guru

Kanak-kanak disleksia akan mempunyai masa depan yang lebih cerah sekiranya ibu bapanya berusaha untuk menghantar mereka ke sekolah. Disinilah ibu bapa berperanan penting supaya lebih peka dengan perkembangan anak-anak kerana masalah pembelajaran boleh dikenal pasti diperingkat sekolah rendah lagi supaya mereka tidak terus ketinggalan terutamanya dari segi pendidikan. Ibu bapa tidak seharusnya merasa malu kerana mempunyai anak-anak yang sedemikian.
Ibu bapa perlu menjalinkan kerjasama dengan pihak sekolah terutama guru berkenaan dengan lebih kerap lagi untuk memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan yang sewajarnya. Ini kerana terdapat sekolah yang tidak menyediakan kelas khas untuk murid sedemikian maka murid ini akan ditempatkan dikelas biasa. Guru tersebut seharusnya mendapat semua maklumat yang berkaitan dengan perkembangan kanak-kanak tersebut untuk memudahkannya merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang bersesuaian.
Kanak-kanak ini perlu dibimbing supaya menyedari bahawa pembelajaran dan aktiviti-aktiviti yang dilakukan di sekolah dan di rumah adalah sebahagian daripada keperluan dan kehidupan. Pembelajaran yang diperolehi boleh dipindahkan kepada keadaan kehidupan yang sebenarnya. Oleh yang demikian guru-guru dan ibu bapa hendaklah memikirkan masalah-masalah yang sebenarnya dalam pelajaran untuk diselesaikan melalui pengajaran dan pembelajaran di sekolah dan di rumah.